Semalam Khamis 4.1.24 telah pun berlangsung Majlis Bacaan Yassin & Solat Hajat Bagi Calon SPM 2023 SMK USJ 23 dengan kerjasama antara PIBG dan Unit Panitia Agama Islam dibawah pimpinan Ustazah Juliana. Perancangan program ini telah pun dirancang seawal bulan Oktober 2023. Asal niat saya sebenarnya saya ingin memanggil Ustaz Don untuk hadir. Dr Atiki (mantan NYDP PIBG yang juga merupakan mentor saya) telah memberikan nombor PA Ustaz Don. Malangnya hasrat ini tidak dapat dijayakan kerana jadual Ustaz penuh.

Kemudian datang pula hasrat “Why not kita adakan acara ini di masjid luar?” Selain keluasan masjid mampu menampung kesemua calon pelajar bersama ibubapa mereka, solat tersebut juga boleh diimami oleh Imam masjid. Alhamdulillah hasil perbincangan bersama Ustazah Juliana, kata sepakat telahpun disepakati dan dari situ bermulalah kerja dan usaha untuk mendapatkan:

1. Kelulusan permohonan daripada masjid, 
2. Penempahan makanan, pembelian minuman,
4. Pembungkusan,
5. Rekaan banner, kupon
6. Dan perkara-perkara lain yang telah pun 
kami bersama-sama usahakan.

Dalam fikiran saya dan semua team PIBG 23, hati kami sangat tertaut dengan anak-anak pelajar SPM 2023. Mungkin kerana hubungan akrab yang terjalin dengan mereka sejak dari Kelas Malam Matematik PIBG 23. Kami sangat ingin melihat kejayaan mereka. Senior kepada adik-adik junior yang kini berada di tingkatan 1-4, alangkah baiknya sekiranya batch SPM 23 merupakan sebuah batch pemula kearah kecemerlangan akademik untuk SMK USJ 23 secara keseluruhan.

Pastinya hajat ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Cuma saya soal kepada diri saya sendiri bagaimana seorang YDP boleh lakukan untuk membantu para pelajar. Pelajar SPM acapkali PM kepada saya atau bersemuka memberitahu hal-hal yang merunsingkan mereka dan mereka ingin mendapatkan nasihat. Saya bukanlah orang yang tepat untuk memberikan nasihat kerana saya tidak ada kepakaran itu. Namun, saya percaya kepada setiap permasalahan mempunyai solusi. Dan solusinya itu hanya boleh dibantu oleh Maha Pencipta. Dari situlah timbul keinginan yang sangat-sangat mendalam untuk PIBG menjayakan program ini. Iaitu hasrat semua Pelajar, Semua Ibubapa dan Semua Guru bersatu dalam sebuah HAJAT lalu memanjatkannya kepada Yang Maha Mendengar.

Benarlah “Sujud itu Indah.. Kau berbisik ke bumi lantas didengari dilangit”. Hasrat mengadakan solat hajat di Masjid Putra Heights ini asalnya tidak berhasil kerana dewan solatnya dilanda musibah kebocoran. Namun alhamdulillah takdir Allah, segala-galanya yang sukar dimudahkan dan dilancarkan. Namun begitu, walaupun majlis yang berjalan ini dipuji oleh kebanyakan ibubapa dan anak-anak melalui text peribadi kepada saya mahupun di group, satu ingin saya nyatakan:

Setiap yang teratur itu adalah daripada usaha kesemua Team PIBG 2023 dengan usahasama bersama Ustazah Juliana dan Team Panitia Agama Islam. Namun sekiranya terdapat (pasti ada) kelemahan maka ketahuilah kelemahan itu adalah diri saya sendiri iaitu kelemahan pengurusan saya. Oleh demikian itu, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua andai kata terdapat apa jua kekurangan mahupun kesulitan. InshaAllah dari semasa ke semasa akan diperbaiki.

Saya telah tulis dengan panjang lebar diatas, namun dalam benak hati saya sebenarnya saya ingin nyatakan kepada semua anak-anak pelajar SPM 2023, anda semua sangat dekat dalam hati saya dan saya tahu team PIBG sesi ini (2023) juga sangat menyayangi kamu semua. Kamu telah kami anggap seperti anak-anak kami sendiri. Melihat kejayaan kamu merupakan hasrat hati kami. Ketahuilah anak-anak, diri kamu itu menjadi doa-doa harian kami.

Saya sangat beruntung kerana diri saya yang lemah ini dibantu oleh pelbagai pihak, NYDP PIBG iaitu Puan Yusnita yang tidak putus-putus membantu tanpa mengira masa, menyusun atur kerja agar ianya rapi dan tersusun, mengingatkan saya perkara-perkara yang saya terlupa, menjadi tulang belakang yang kuat didalam team diiringi dengan AJK-ajk yang luarbiasa hebatnya seperti Puan Yanti, Puan Sharifah, Puan Rena, Puan Mira, Puan Hani, Puan Hanis, Tengku Farid dan Ketua KSIB Puan Watie. Alumni PIBG yang amat prihatin iaitu Mantan NYDP Dr. Atiki dan rakan-rakan ibubapa yang amat saya sanjungi. Selain daripada itu kerjasama yang sangat baik bersama guru-guru SMK USJ 23 yang tanpa jemu melayan saya dan membantu saya seperti Puan Zaimira, Ustazah Juliana, bersama team guru-guru yang amat cemerlang. Alhamdulillah moga-moga momentum sebaik ini dapatlah dikekalkan untuk masa-masa yang akan  datang. InshaAllah

Sebelum saya mengakhiri coretan kali ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Muhammad Hafiz bin Mohd Zin kerana telah sudi membantu acik Fin membacakan teks ucapan YDP PIBG SMK USJ 23 pada majlis malam tadi. Semoga rahmat Allah swt akan selalu bersamamu. Amin ya Rab.

Kepada anak-anak semua, apa yang Acik Fin tuliskan itu lahir dari isi hati. dan percayalah anak-anak dalam masa yang singkat ini, tak mengira apa jua situasi kamu sekarang, adalah tidak mustahil untuk kamu berjaya dalam SPM. Tapi kamu mulakanlah dari sekarang sekiranya kamu belum bermula lagi. Yakinlah Allah itu Maha Mendengar. Dan hadirkanlah hati kamu yang paling tulus untuk meminta kepadaNya. Anak-anak, sabar dan solat itu kuncinya. Dibawah ini acik Fin titipkan teks ucapan malam tadi untuk anak-anak selami. Acik cuba menggunakan bahasa paling ringkas dengan harapan ianya tersampai.


Ucapan YDP PIBG SMK USJ 23 – MAJLIS BACAAN YASSIN & SOLAT HAJAT BAGI PELAJAR-PELAJAR CALON SPM SMK USJ 23 2023

Terima kasih kepada puan pengerusi majlis,
Assalamualaikum wbt. Yang amat saya hormati Pengurus Masjid Putra Heights Ustaz Zulfahmi bin Samsudin, Yang Berusaha NYDP PIBG SMK USJ 23 Puan Yusnita Yusuf, Yang Berusaha Penolong Kanan Pentadbiran SMK USJ 23, En. Nik Shafizal bin Nik Jid, Yang saya muliakan Ustazah Juliana Ketua Panitia Agama Islam SMK USJ 23, Pentadbir-pentadbir Masjid Putra Heights, AJK-AJK PIBG Ibubapa dan Guru, yang saya kasihi Guru-guru dan rakan-rakan ibubapa serta hadirin hadirat Jemaah
masjid Putra Heights yang dimuliakan Allah sekalian. Dan paling tidak dilupakan, anak-anak kesayangan yang kita raikan malam ini Pelajar-pelajar calon SPM 23 SMK USJ 23.

Kepada yang tertanya-tanya mengapakah nama YDP wanita tetapi yang membaca teks ini adalah Penolong Ketua Sekolah, jawapannya adalah kerana suara saya telah sesat belum jumpa jalan pulang. Maka saya mohon bantuan adik Hafiz untuk membacakan teks ucapan dan beliau berbesar hati untuk membantu saya. Kepada ibu dan ayah Hafiz anda didik anak anda dengan begitu cemerlang. Alhamdulillah. Anak-anak SPM yang dirahmati Allah sekalian, Muhammad Imran Haziq bin Kamarul Arifin dan semua anak-anak yang ada disini, saya mahu kamu dengar apa yang ingin saya sampaikan ini betul-betul kamu semua saya anggap seperti anak saya sendiri. Oleh itu, sudikanlah hadirkan hati kamu pada malam ini untuk mendengar apa yang ingin saya sampaikan sekarang.

1. Adakah kamu salah seorang yang merasakan terlalu banyak subjek yang kamu perlu catch up?
2. Kamu rasa sukar nak pelajari semua dalam masa yang singkat
3. Makin banyak kamu belajar, semakin kamu takut
4. Harapan ibubapa merisaukan kamu, mengganggu kamu
5. Kamu PENAT
6. Kamu rasa SPM ini mustahil utk kamu lantas kamu ambil sikap untuk ignore
7. Kamu rasa SPM ini penting untuk kamu dan perasaan itu membuatkan kamu sangat risau
8. Dan 1001 lagi jenis perasaan yang hinggap dihati kamu kala ini. Betul tak kata acik fin anak2?

Jika betul maka ketahuilah Allah sebut dalam Al-Quran surah Az Zariyat ayat 50
فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌۭ مُّبِينٌۭ ٥٠

yang bermaksud: Maka segeralah kembali kepada (menaati) Allah.

Anak-anak apa jua masalahmu jangan lari dari Allah. Satu jenis larian sahaja yang kamu boleh lakukan iaitu LARI HANYA KEPADA ALLAH. Kerana satu-satunya jalan menyelesaikan masalah itu hanyalah dengan lari kepada Allah. Kerana apa? Kerana apa jua masalah kamu itu Allah juga yang kasi. فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ larilah kepada Allah. Kalau mahu minta tolong larinya kemana anak2?
Kepada Allah. Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Acik ulang sekali lagi mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Minta sungguh-sungguh bantuanNya inshaAllah akan hadir bantuan Allah itu nanti. Sabar dan yakin Allah mendengar rintihanmu anak2. Boleh ye?

Jadikanlah anak2 malam ini malam permulaan dimana kamu suarakan hasrat hati kamu, keinginan kamu sampaikanlah kepada Allah dan teruskanlah solat hajat, solat taubat, solat tahajud bermula dari malam ini sekiranya kamu masih belum melakukannya. InshaAllah moga2 Allah hadirkan kepada kamu ilham dan perasaan yang berkobar-kobar untuk Berjaya. Dan jangan lupa untuk mohon kepada Allah agar membantu kamu meninggalkan apa bentuk jenis maksiat. Minta sungguh2. Maksiat mata, maksiat main game, dan pelbagai jenis lagi yang boleh mengganggu doamu, tinggalkanlah.

Itu sahaja sebenarnya pesanan daripada Acik Fin dengan rasa penuh kasih kepada kamu semua. Semoga pada malam ini, Allah makbulkan semua permintaan daripada kita semua. Amin Ya Rab. Terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan majlis ini dan terima kasih kepada semua Jemaah yang hadir beramai-ramai mendoakan anak2 calon SPM SMK USJ 23.
Moga rahmat Allah sentiasa bersama mu

./fin a razak
YDP PIBG 2023 – SMK USJ 23
4.1.24

Log in with your credentials

Forgot your details?